JUBAH UNTUK IBU...




"Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu.. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.


Baca lagi »

Gelap!! Keluarkan Aku, Ya Allah!!

Hari berganti hari.Keadaanku semakin tenat...

....

Tubuhku sejuk terkaku seperti mayat di atas katil di salah sebuah hospital yang aku sendiri tidak tahu.

yang aku ingat aku sedang memandu kereta ayah,lalu bertembung dengan sebuah lori.

Dan darahku membasahi jalan..

....

Tapi selepas itu aku tidak ingat apa-apa.Pandanganku kabur.Tidak dapat ku pastikan siapa orang-orang yang berada di sekelilingku.Aku terasa dada ku teramat berat sesak menghimpit dan bahagian pinggangku sudah tidak berasa apa-apa lagi.

Tiba-tiba tanganku di pegang kuat.

"Mengucap sayang,,mengucap........Asyhaduallailahaillallah.. ......."ucapan itu dibisikkan ke telingaku di sertai dengan tangisan.


Baca lagi »

Aku Dah kawin



*** Aku Masih bujang ag, cuma cerita ni je tajuk Aku Dah Kawin.. Jangan Salah sangka ^_^ ****

*** Untuk Renungan Bersama ***



Aku dah kawin skarang. Bini aku memang baik sangat2. Tapi dia x seperti yang aku expect masa kami belom kawin dulu. Masa belom kawin, aku tengok dia memang sorang yang pendiam je, jarang gile cakap ngan laki. Member2 mmg puji la cara dia. So memang susah jugak aku nak cuba tegur dia masa tu.. segan dowh. Memang obvious lah kalau aku tegur. Tapi aku suka dia macam tu, so xde la cemburu sangat sebab dia jarang borak2 ngan laki..

Cantik? Memang la, kalu x aku comfirm x sangkut punyer. Haha. Cantik pada mata aku la. Member2 pon ade yang cube usha. Sori le dia nak layan. Haha. Memang market. Last2 aku yang dapat, memang rasa bangga giler. hehe..

Eh, dok ngumpat2 pasal dia, lupa lak nak kasi tau nama. Nama panggilan dia Ara. Nama betol dirahsiakan. Hoho..

Aku usha cara yang leklok la, gi jumpa bapak dia dluu. gentlemen beb! Slow talk ngan bapak dia. Err, bapak dia nama Marzuki.. Bapak dia ni jenis sound direct rupenyer.. Pergh, mmg kena kutuk kaw2 la gua. Sebabnya, bila dia tanya kenal x anak dia? Gua cakap x sgt. Bapak dia tanya lagi, nape nak kawin ngan anak dia? Gua cakap sebab minat. Minat sebab ape? Gua cakap x tau.. Habis kalu x dapat anak dia? Gua cakap nak jugak! Bapak dia sound la, “ko ni, cane ko nak kawin ngan org yang ko x kenal? Gua jawab, lepas kawin la saya kenal dia pakcik.. pastu sengih2.. pastu bapak dia diam.


Baca lagi »

~ya, sy jatuh cinta kat awk bkn krn Allah @ kecantikan awak, harta awak.. saya jatuh cinta disebabkan Syaitan......~



Alkisah. Seorang lelaki A datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan yang paling 'hot' di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang fotogeniklah katakan, cantik, menawan dan yang paling orang suka dia ni seksi dan berada. Tapi sayang, dia bkn muslim.

Saya malas mau tulis panjang lebar. So, dialog ringkas sajalah(tak juga ringkas nie). Tapi sebelum tu, biar saya bagi tau korang ciri-ciri lelaki A tu. Lelaki A merupakan anak seorang Dato' entahlah Dato' apa. Saya pun tak berapa tau. Yang penting mamat ni kaya, kacak, bergaya. Nak gi kampus pon pakai kereta mewah, dah tu ada drebar pulak. Fuih, sape tengok, melopong je lah.


Baca lagi »

Semoga Pilihanku Tepat Dengannya...




Semoga Pilihanku untuknya Tepat...
Ku menanti setiap saat...
Moga daku dengannya diberkati n membawa berkat
4tahun menunggu dengan penuh semangat....

Lapangkan diriku...
Ikhlaskan niatku...
Tambahkan n mantapkan ilmuku
Semoga mahligai dibina berlandaskan jalanMu...

Ampunkan dosa2ku ya Tuhanku...


Kemana menghilang Diri Ini....




Ku mencari makna disebalik kesepian
Yang sentiasa menghantui diriku ini...
Ku cuba merungkai makna kesedihan...
Yang sentiasa mendera hatiku ini...

Kucuba mencari makna kehilangan...
Yang cuba menyembunyikan diri ini...
Kucuba mengelak makna tekanan...
Yang cuba melemaskan fikiran ini...

Kucuba menggapai makna ketenangan
Yang jauh meninggalkan hati ini
Kucuba menghadirkan makna kasih dalam diri ini
Yang cuba sedikit demi sedikit meruapan....

Kucuba memadam makna kesengsaraan
Yang cuba menikam secara halus...
Kucuba mengembang makna keluasan
Yang makin lama makin sempit...

Kucuba mengikat makna motivasi...
Yang terlepas dari ikatan...
Kucuba menanam makna fikirkanlan...
Yang mana takut munculnya" sebelum terlambat"...

Kucuba menggapai makna Cahaya...
Yang semakin lama semakin pudar...
Kucuba merenung makna disebaik makna
Agar makna itu mencapai makna sebenar...

Fikir.. Renung.. Zikir... Kembali Pada Asa...

Ibnu Muhamad...
00:31am 18.10.10
Pekan Pahang....


Menyepikan dan Menghilangkan Diri Buat Sementara Waktu...


Salam Ukhuwwan dan Salam Keceriaan Buat sahabat2 sekelian...

Apakhbr? Semoga semuanya berada dalam keadaan sehat semuanya... mungkin akan lain tajuk tulisan ku ini... sudah lama ku tidak mengcoretkan ilhamku yang tersemat dimindaku ini...

sampai begitu usang blog ku ini....

Buat sementara waktu ini .... dan juga ku coret dalam FB ku... akan ku menyepi dan menghilangkan diri buat sementara waktu... atas sebab-sebab tertentu dan juga sedikit masalah kesihatan.

InsyaAllah... selepas tamat sesi penyepianku nanti.. akan ku aktifkan dan mengatur segala gerak kerja semua yang tertangguh...

Ku pohon maaf jika ada silap dan salah...

Ukhuwwah Fillah...
Doakan semoga daku berjaya untuk "sesi" ini......
"Sesi" perubahan kearah lebih baik lagi.....

Perutusan Aidilfitri 1431H



Perutusan Adilfitri

Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK)

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbrkth,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,

Alhamdulillah, Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian.


Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Begitu juga kita ucapkan kepada keluarga baginda al-itrul Mutohharah dan kepada para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah tanpa penat dan lelah sehingga tibanya al-Qiyamah.

Sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah rakan seperjuangan sekalian,
Mewakili Saf – saf kepimpinan Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan, mengucapkan Salam Aidilfitri, Salam Lebaran dan Salam perjuangan kepada seluruh pelajar Kelantan dan seluruh umat Islam tidak kira dimana sahaja. Semoga kehadiran Syawal kali ini membawa sejuta makna kepada kita semua.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana kita sekali lagi di ketemukan dengan Ramadhan pada kali ini dan InsyaAllah akan menyambut Syawal pada 10hb September ini. Nur Ramadhan yang membawa sejuta makna dan sejuta barakah akan melabuhkan tirainya dengan penuh kesayuan dan kesedihan kerana kita belum tentu dapat bertemu dengan Nur Ramadhan pada tahun mendatang. Semoga kita semua dapat lagi bertemu dengan Ramadhan mendatang. Namun, perginya Ramadhan di ganti dan disusuli dengan keindahan Syawal sebagai tanda kemenangan kepada kita semua setelah kita di tarbiyyah selama sebulan di yang penuh kemuliaan.


Menyemai Ilmu Menabur Bakti

Selama sebulan kita disemai ilmu dan tarbiyyah di bulan Ramadhan dengan penuh keberkatan seperti mendalami ilmu AlQuran, kesabaran, ukhuwwah dan lain-lain. Jika kita lihat banyak pengajaran yang kita perolehi sepanjang bulan ramadhan ini disamping merebut pahala yang berlipat kali ganda serta Lailatul Qadar. Dengan kedatangan Syawal yang mulia ini, marilah kita buktikan segala ilmu yang kita perolehi dan terus beristiqamah mengamalkannya tidak kira dimana sahaja. Jangan hanya dibulan Ramadhan sahaja, tetapi terus menerus pada bulan-bulan mendatang sehingga ia menjadi sebati dengan diri kita.

Selain itu juga, dibulan Ramadhan juga kita dilatih untuk menabur bakti kepada mereka yang memerlukan, tidak kira kepada sesiapa. Ini dapat menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah. Nilai – nilai ini wajar diteruskan dan dihayati bersama sempena kita menyambut Syawal yang indah.


Menghayati Makna disebalik Syawal

Marilah kita sama-sama menghayati makna disebalik Syawal yang mulia ini. Bukan hanya menyambutnya dengan kemeriahan sahaja, tetapi harus sedar dan sentiasa muhasabah diri serta tidak lari dari Al-Quran dan sunnah. Janganlah kita menyambut syawal yang indah ini dengan benda-benda atau perkara yang melalaikan tanpa kita sedari. Sentiasalah kita Ingat mengingati sesama kita.

Marilah kita sama-sama menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada perubahan dan keyakinan kita kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini. Bersamalah kita meningkatkan usaha kita kearah menjadikan kita generasi yang mampu membangunkan masyarakat kearah yang lebih baik. Hidup Biar berjasa.

Allahu Akbar..Allahu Akbar.. Allahu Akbar.

Sekian terima Kasih

Menyemai Ilmu Menabur Bakti, Hidup Biar berjasa

Abdullah Muhamad Nawi
Yang Di-Pertua
Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan
2010/2011

Izinkan Abang Nikah Satu Lagi♥ ♥ ♥



Renungkan...

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.

Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.

Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.


1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...

Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.

Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

Sebelum Cahaya... Adaptasi dari lagu Letto..



Ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi insan
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendirikuatkanlah hati insan

ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah engkau kepadaangin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu insan

Kekuatan hati yang berpegang janji
Genggamlah tanganmu insan
Tuhan takkan pergi meninggalkanmu sendiri
Temani hatimu insan.
Ingatkah engkau kepada
Embun pagi bersahaja
Yang menemanimu sebelum cahaya
Ingatkah engkau kepada
Angin yang berhembus mesra
Yang kan membelaimu insan

Ku teringat hatiyang bertabur mimpi
kemana kau pergi insan
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati insan

Ingatkah engkau kepada
Embun pagi bersahajaYang menemanimu sebelum cahaya
Ingatkah engkau kepada
Angin yang berhembus mesra
Yang kan membelaimu insan

Itu Rahmat dari Tuhan...

______________________________

Makna disebalik lagu [ pada konotasi saya ]

Jika hari ini kamu ditimpa musibah, dan menanggungnya seorang diri, itu tidak akan beerti hidupmu akan berakhir atau dunia ini telah kiamat.

Malah mungkin kegelapanmu ketika ditimpa musibah itu merupakan satu permulaan untukmu bangkit kembali.... ..

Apabila kegelapan itu semakin pekat, maka beerti ia menunjukkan fajar hampir tiba. Bersabarlah ketika dalam kegelapan itu. Nikmatilah seketika kelembutan embun (iman) dan hembusan mesra angin (kekuatan diri) seketika kamu menunggu sebelum cahaya itu terbit memadamkan kegelapan.

Kegelapan malam itu tidak akan kekal dan pasti matahari baru akan menyinsing.

Firman Allah :
"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada oarng-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang mengucapkan : "Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNYA lah kami kembali)". Mereka itulah yang mendapat rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

(Al-Baqarah : 155-157)

Sumber ini ku ambil dari sahabatku :

[Fetyan Afzan Bey]
26 April 2010
Anjung Raudhah ,Jelawat.

Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul



Salam Ukhuwwah dan Persahabatan...

Alhamdulillah... semalam dikesempatan yang ada.. sempat juga ku memghabiskan bacaan buku ini.. banyak manfaat terutama bagi golongan remaja di zaman penuh mencabar ini.. Moga buku ini memberi sejuta pengalaman dan perkongsian baru untuk semua.. di sini dilampirkan sedikit sebanyak berkenaan buku yang ku baca itu...

Pemilik
Cintaku Setelah Allah dan Rasul

Sumber : www.iLuvislam.com

Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan penulis ini kesempatan untuk berkarya yang mana setiap karya beliau banyak mendidik,memotivasi serta mengajak kepada sunnah Nabi SAW.Setiap novel beliau yang saya ikuti bukanlah sekadar novel biasa mahu pun novel cinta semata.Penulis pernah dinobatkan sebagai novelis sayembara mengarang novel Remaja DBP 2006.

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul

Karya terbaru penulis ini adalah buah tangan beliau selepas mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta.Jesteru itu sedikit sebanyak pengalaman beliau berjaya dikongsi bersama dalam menghidupkan watak di dalam karya beliau kali ini,malah bagi saya sendiri seolah-olah watak dalam karya beliau kali ini adalah seperti jalan hidup penulis(fatimah syarha) sendiri sehingga ke alam perkahwinan

Seperti penulisan beliau yang lalu,



Penulis juga sedikit sebanyak berkongsi sunnah-sunnah dialam perkawinan di dalam karya kali ini dan juga panduan-panduan terhadap para isteri dan juga para suami serta para bakal suami isteri. Karyanya punya perbezaan dengan novelis-novelis islamik yang lain seperti Abu Hassan Morad dan Habiburrahman el-Shirazy (Kang Abik). Penulisannya sangat indah, menyentuh hati, membangkitkan semangat, unik,tersendiri dan memberi pedoman kepada penulis. Tunjang kekuatan karya-karyanya bukanlah cinta insani semata-mata, tetapi ia mengajar kita hidup dalam suasana Tarbiyyah; mencipta dan mengekalkan ummah yang terdidik dengan ajaran Islami sepenuhnya.

Buku ni bukan sahaja bercerita mengenai cinta yang praktikal malah ada diselitkan tentang pelaksanaan ke arah baitul muslim(keluarga muslim), sedikit tentang isu jihad dan rentetan sejarah Palestin serta ada diselitkan senarai tentang cara untuk menunjukkan sokongan terhadap mereka yang berjuang di bumi Palestin. Buku yang bukan hanya bermadah indah namun sarat dengan info dan panduan berdasarkan Sunnah Nabawiyyah.

Setiap helaian dan setiap kata punya makna dan signifikannya kerana saya merasakan tulisan ini terbit dari hati dan jiwa yang murni. Ibarat menulis diari. Tulisan yang terbit dari hati. Keikhlasan menulis itu akan dapat dirasai oleh orang yang membacanya. Dari hati turun ke hati.

Bukunya tak tebal, tak nipis sangat. Sedang-sedang saja. Saya kira 'pelaburan' yang anda lakuka untuk membaca buku ini tidak akan sia-si. Pelaburan itu pasti berbaloi malah akan mengobarkan semangat untuk melangkah berjuang menegakkan syariat Allah dalam diri.

Bagi mereka yang sibuk, ambillah masa untuk membacanya juga. Tidak lama. Pengalaman saya, masa yang diambil untuk menghabiskan bacaan hanyalah satu jam lebih sahaja. Oleh itu, saya sarankan kepada anda sekalian, tidak rugi memperuntukkan masa untuk membaca kerana manfaatnya terlalu besar.

Buku ni, sememangnya 'highly recommended' bagi mereka yang nak bahagia bila berumah tangga nanti atas dasar syariat dan bukan maksiat, bagi mereka yang pernah dilamar dan melamar, atau mungkin bakal dilamar dan melamar, bagi mereka yang pernah bercouple, sedang bercouple dan mereka-mereka yang 'frust' bercinta juga bagi mereka yang belum pernah bercinta dan sedang mencari-cari cinta seolah lelaki sebagai teman hidup menuju redha Ilahi.

Bagi para lelaki yang mahu menyunting sekuntum mawar yang mekar berduri, bijaklah mengatur langkah. Aturkan langkahmu dengan teliti dan berhati-hati.
Kisah dalam buku ini, saya yakin dan percaya bukan idealistik semata, namun ia boleh menjadi realiti andai kita memilih untuk merealisasikannya - iaitu menghidupkan As-sunnah.

Secara kritikalnya, tidak dinafikan ada terdetik di hati saya, kisah ini ‘terlalu sempurna’. Masih wujud lagikah golongan seperti ini pada zaman moden ini? Namun, cerita ini mungkin jauh dari dunia realiti yang kita lihat hari ini. Tapi andai dapat kita sematkan dalam diri prinsip mengejar keredhaan Ilahi sebagai pasak dan tunjang dalam diri, hidup hanya berdasarkan syariat yang benar bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Tinggal lagi antara kita nak atau tak.

Teringat akan hadis Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa kehidupan islam itu pada satu masa akan menjadi asing sekali berbanding kelompok manusia yang lain.

Banyak iktibar dan mutiara pengajaran yang dapat diambil sebagai pedoman dalam meniti arus kehidupan ini lebih-lebih lagi sebagi seorang remaja kerana ujian di usia remaja ini sememangnya mencabar iman dan taqwa. Gemilangnya sesuatu ummah itu ialah apabila para pemudanya termasuk remaja mempunyai susuk peribadi yang mantap dan mapan. Nafsu yang dikawal ketat dengan iman dan taqwa maka kebinasaan dapat dihindari. Selaku seorang muslimah, yang juga sedang meniti alam remaja, tidak dinafikan ujian 'cinta' sememangnya ujian yang sinonim pada kebanyakan remaja. Berapa ramai yang mampu mempertahankan sebuah prinsip demi Allah dan Rasul? Sama-sama kita renung kembali jauh ke dalam diri. Moga ada perubahan yang dapat kita lakukan dalam hidup setelah membaca buku ini.

Sumber :

1. http://everjihad.blogspot.com
2. http://ibnyaacob.blogspot.com/

Perkara Baru Kena Ambik Tahu.... ^_^







Ambillah peringatan... berhati - hatilah kita....

Berdating dengan Nya... ^_^




Salam Ukhuwwah.. salam persahabatan...

Sibuk minggu ini memandangkan esok bermulanya Final Exam.. sibuk-sibuk.. tapi ada luang masa menjenguk atau melayari internet sambil2 cari bahan katakan... tetiba je terjumpa benda ni.. namun.. kan lebih baik kalau benda ini di ubah jadi begini.. saksikan ...

Dating.... ^_^

First Date anda pada minggu depan, dan awak kini sedang buntu memikirkan idea bagaimana menghadapinya? Nervous, maklumlah ingin berjumpa dengan bakal kekasih hati yang begitu sempurna di mata awak. Awak confuse, apa jenis fesyen baju yang nak dipakai nanti? Perfume yang macamana? Apa topik perbualan nanti? Nak bawa si dia pergi mana?

Kan lebih baik cam ni :

First Date anda bukan lagi minggu depan.. hari2 pon boleh, tengah malam... 2/3 malam lagi cantek.. xyah buntu2 cari idea.. malah bertambah idea datang.. Nervous.. xde pon..bakal kekasih hati? memang dah jadi.. cume xprasan je. confuse, apa jenis fesyen baju yang nak dipakai nanti? Perfume yang macamana? Apa topik perbualan nanti? Nak bawa si dia pergi mana.. xpah fikir.. Janji baju bersih dan suci.. wangian yang terbaik dan jauh dr kandungan alkohol .. Nak bawak pegi mana? memang dah dekat ngan kite...

Nak tanya pada kawan, rasa malu, nak baca di Internet, semuanya dalam English. Hmmm, apa nak buat nie? Risau betulla, nanti bila dating, masing-masing senyap jek, dah habis modal..

Xpayah risau.. kalau dengan DIA.. semua OK...


Apa topik nak dibualkan nanti?

1. PERCUTIAN?

2. ARTIS DAN GOSIP?

3. ISU SEMASA?

4. KAWAN & KELUARGA?

5. MASA LAPANG?

6. CITARASA PERIBADI?


Semuanya boleh denganNYa... Malah.. siap bagi support lagi... bukan itu sahaja... siap bagi jalan penyelesaian.. Jika sedih terubat dengannye... ada masalah.. sume dapat diselesaikan... Kemudahan yang tidak terhingga dapat... banyakkkk faedahnya....

Haaa.... cube teka... siapa Dia?... ^_^

Dia adalah ..... TUHAN YANG MAHA ESA, MAHA PENYAYANG, MAHA PENGASIH....

Cube renung-renungkan...

Cintakan Bunga, Bungakan layu

Cintakan Manusia, manusiakan mati

Cuntakan Tuhan.. Kekal abadi..

Kalau dating ngan kekasih/ boy pren/ girl pren atau sewaktu ngan nye... ade leh kelebihan cam di atas? ngeh3.. dose ade la dapat... kan3...


Yeak Ichem Mahak... n_n ...

Sayu dikenangkan..
Kenangan dahulu kala...
bila terdengar kata-kata..

ustaz... eloh gah?
Yeak.. alhamdulillah.. gah mej..
elok hal?..
oing... yeak ichem ustaz..
lamak hak tak madoh sini..
hak tak ichem samak seng oi kat sini?
Yeak ichem kambel semua..
Yeak kan org kg sini..

Bila agaknya...
bila tibanya..
entah apa nak di kata
bila boleh jejak kaki ke sana....

Ketenangan.. kedamaian...
hanya yang tahu mengetahuinya..





Ilham pada : 12.04.10... jam 1.18pg

Hatiku..

Hari ini... resah n gelisah
sedih dan duka
hiba dan lara
masam dan pahit

entah mengapa...
kali ku cobaa... untuk mengenang..
diri ini...
hebat dilanda...
rindu resah gelisah..
mengenangkan nasib diri ini..

entah mengapa...
hatiku tidak tenteram
mungkin...
petanda..
hati ini perlu dirawat..
perlu di ubat..
perlu di bersih..

entah mengapa..
sedih dan pilu...
ku perlu mencarinya..
ku perlu dekatinya
ku perlu terus perlu
memahamiNya...

hati ini...



Ilham pada: 11.04.10... Jam 11.59mlm

Ikhlas dariku...

aku bukan seperti kau sangkakan
pura - pura di dalam berjuang..
aku tidak pandai menyulam rahsia..
juga tak pandai ku bermadah pujangga..

Jika ada yang bersedih hati..
Oh katakanlah padaku...
relaku terima walaupun bukan..
asalkan akidah terjaga

kerana tidak sanggup lagi
mempermainkan dustur Ilahi
hakikat hati tak terluka
walau zahirnya ada yang tertawa

Tuhan...
Ku mohon kan ampunan
di telanjuran yang berulang kali
teman...kita pastikan disini
berakhir lah sudah lamunan duniawi
terima syukur taufik Ilahi...




P/s : lagu dari Akhi hayy... hayati.. renung.. selami

kembara mencari cinta

Kembaraku bermula...
dari satu langkah ke satu langkah
menuju ke satu destinasi..
destinasi yang tidak kunjung tiba
jika tidak diusahakan

kembaraku mencari cinta
cinta yang hakiki
cinta yang sebenar
cinta yang ampuh
cinta yang bahagia
cinta yang kekal
cinta tanpa hilang...

kembara terus kembara
mencari Jalan yang lurus
mencari yang hak
membuang yang batil
mencari keredhaan
mencari kecintaan
Yang Maha Kuasa

Kembaraku tanpa henti
mencari sesuatu yang ingin ku miliki
mencari sesuatu yang kekal abadi
mencari bekalan sepanjang hayatku
berada di sana
di dunia kekal abadi

kembaraku terus bergerak
dari satu arah ke satu arah
menjejak kejayaan
yang abadi
dunia n akhirat....

kembaraku....

ISLAM DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI : SATU PERKEMBANGAN DI NEGERI KELANTAN









ISLAM DALAM MASYARAKAT ORANG ASLI : SATU PERKEMBANGAN DI NEGERI KELANTAN

Disediakan oleh

Abdullah b. Muhamad Nawi

MH 08081

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَدِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat dan nasihat pengajaran yang baik, dan bahaskanlah mereka secara yang baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk

Surah An-Nahl, 16:125

Mengenali Masyarakat Orang Asli

Masyarakat Orang Asli merupakan masyarakat pribumi yang mendiami kepulauan semenanjung Malaysia. Mengikut sejarah, kepulauan Melayu telah mula diduduki oleh manusia yang dipanggil Austronesian atau Malayo-Polynesia sekitar 5,000 tahun dahulu. Mereka ini dikatakan berasal daripada Selatan China (Yunan) dan Taiwan. Penghijrahan mereka ke selatan adalah secara ’sporadic’, ’irregular’ dan ’incremental’. Bermula dari Filipina menganjur ke pulau-pulau Indonesia sehingga ke penghujung tanah besar Asia, pulau-pulau Pasifik dan Madagascar.

Majoriti Orang Asli di Malaysia (termasuk kaum Bumiputera) yang menghuni kawasan Indo-Malaya sekarang ini adalah keturunan daripada manusia Austranesian awal ini. Hasil daripada Banci Penduduk JHEOA 2004, jumlah populasi Orang Asli Malaysia ketika ini ialah seramai 149,723 orang. Mereka terbahagi kepada tiga Kaum utama iaitu, Melayu Proto (Proto-Malay), Negrito dan Senoi yang membentuk 18 Rumpun Bangsa.

Di Kelantan, terdapat 3 kaum Orang Asli yang mendiami negeri ini yang kebanyakannya terdapat di daerah Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai. Kaum – Kaum tersebut adalah Kaum Temiar yang merupakan salah satu rumpun bangsa Senoi di mana ia merupakan kaum terbanyak di Kelantan yang mendiami daerah Gua Musang dan Jeli dan Kaum Jahai dan Bateq yang merupakan salah satu rumpun bangsa Negrito yang kebanyakannya mendiami daerah Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai. Kebanyakan masyarakat Orang Asli di Kelantan tinggal di pedalaman di mana ia mengambil masa yang lama dan penuh mencabar untuk sampai di sesebuah kampong.

Perkembangan Islam

Perkembangan Islam dalam masyarakat Orang Asli bermula pada tahun 1980an apabila gerakan dakwah mula di giatkan ke kawasan pedalaman. Kebanyakan mereka yang memeluk agama Islam adalah hasil usaha para pendakwah yang tadak pernah letih dan jemu dalam usaha menyebarkan Islam. Pendakwah – pendakwah ini adalah terdiri dari pendakwah bebas, badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) , Majlis Agama Negeri dan Badan bukan kerajaan.

Di Kelantan situasi perkembangan Islam juga bermula di era tahun 80an di mana pihak yang memulakan kegiatan ini adalah pendakwah dari badan bukan kerajaan iaitu ABIM ( Angkatan Belia Islam Malaysia ) melalui unit Islamic Outreach ABIM ( IOA ), Majlis Agama Islam Kelantan ( MAIK ) , Jabatan Hal Ehwan Agama Islam Kelantan ( JAHEIK ) dan JAKIM. Penyebaran Islam di kalangan masyarakat ini amat mencabar pada ketika itu di mana ketika era tersebut, kedudukan sesebuah pos atau kampong amat pedalaman sekali di mana perjalanan sebagai contoh bermula dari Bandar Gua Musang ke sesebuah pos atau kampong mengambil masa satu hari perjalanan kerana terpaksa meredah hutan dan melalui jalan – jalan balak. Tambahan pula, pada ketika itu masyarakat orang asli kebanyakannya berpindah randah dan ini amatlah menyukarkan.

Walaubagaimanapun kesukaran tersebut, Islam tetap Berjaya di sebarkan di kalangan masyarakat pribumi ini. Kebanyakan pendakwah samaada dari ABIM, MAIK ataupun JAKIM, mereka mengambil pendekatan memasuki kawasan pedalam sebulan sebanyak dua atau tiga kali. Dengan kekerapan tersebut sekarang hampir 70 peratus Islam telah tersebar di dalam masyarakat ini. Terbaru pada tahun 2008, mengikut maklumat yang diberikan oleh pihak IOA, sebanyak 288 orang asli dari kaum temiar telah di Islamkan.

Method Dalam Dakwah Orang Asli

Jika dilihat, Dakwah adalah satu cabang ilmu yang dominan sifatnya. Keberkesanan dan kejayaannya bergantung kepada persembahannya yang mantap dan teruji. Oleh itu method serta pendekatannya haruslah praktikal. Aspek-aspek penting yang menyentuh persoalan pokok mengenai kehidupan, pemikiran, citarasa dan lain-lain unsur yang terangkum dalam alam budaya satu-satu etnik semestinya di fahami sebelum seseorang itu menampilkan diri di tengah-tengah kumpulan sasaran sebagai misi dakwah. Jika tidak sukar baginya untuk melaksanakan misi tersebut. Dalam kontek dakwah kepada kaum Asli, teknik dan pendekatan yang digunakan berbeza kerana suasana kehidupan, cara berfikir, persekitaran dan alam budaya mereka berbeza.

Mengikut buku Method Dakwah yang di keluarkan oleh MAIK, Terdapat 5 tahap pendekatan yang digunakan

· Tahap pertama : Mewujudkan suasana kemesraan yang erat dengan penduduk Asli. Sebagai contoh, Komunikasi menerusi pergaulan, Lawatan rumah ke rumah, Buat majlis jamuan dan sebagainya.Pada tahap ini soal agama tidak di sentuh.

· Tahap kedua :

- Pendakwah membuat intipan ke dalam hati kump. sasaran (Orang Asli) secara individu untuk mengenali samaada mereka punyai perasaan agama atau tidak.

- Dilakukan dalam perbualan tidak langsung dan semasa mereka kelihatan relaks.

- Contoh, Perbualan intipan:

1. Apa pandangan kamu jika dunia tidak ada Matahari?

2. Boleh jadi suatu masa seluruh tanaman di dunia ini mogok tidak mahu mengeluarkan buah. Waktu itu apa akan jadi pada manusia dan kepada siapa mengharapkan pertolongan?

- Soalan ini akan mencetuskan rasa ingin tahu di kalangan mereka dan ingin dapatkan jawapan sebenar.

· Tahap Ketiga :

- Mula menarik perbualan kepada isu agama dengan memperkenalkan apa sebenarnya agama Islam.

- Membuat perbandingan antara agama islam & agama-agama lain.

- Perlu menegaskan agama Islam adalah untuk semua bangsa.

- Nyatakan Islam itu mudah & tidak berlawanan dengan fitrah kemanusiaan yang sedia ada dlm diri mereka.

- nyatakan amalan-amalan/pelaksanaan terhadap amalan-amalan wajib (sembahyang, puasa dan lain - lain)

- Bagi yang baru memeluk Islam mereka belajar sedikit demi sedikit bermula dari bawah.

· Tahap Keempat :

- Setelah tahap 3 disempurnakan, pendakwah harus beri masa kpd kump sasaran utk berfikir & membuat analisa sendiri tentang agama (tempoh 3 hari atau seminggu bergantung pada keadaan & minat seseorang)

- Pada pertemuan berikutnya, pendakwah meninjau pandangan & komen mereka terhadap apa yang dibincangkan.

- Sekiranya jawapan positif, menunjukkan bahawa pintu utk memujuk mereka kpd agama Islam mula terbuka.

- Pendakwah harus lebih kerap mendampingi individu berkenaan utk memikat mereka kpd agama Islam.

· Tahap Kelima : Memaklumkan kpd pihak yang berkenaan spt Majlis Agama Islam utk membuat lawatan dan penerangan khas kpd kump sasaran yang mempunyai minat utk mengenali Islam dengan lebih mendalam dan berkecenderungan utk memeluk Islam.

Selain itu juga, di Kelantan, semua badan dakwah yang terlibat sepenuhnya dalam dakwah kepada masyarakat Orang asli akan bergabung tenaga dan sentiasa membuat mesyuarat penyelarasan bagi memantapkan lagi aktiviti – aktiviti dakwah ini.

Program Susulan.

Setelah mereka diislamkan, menjadi tanggungjawab bersama utk mendidik, membimbing & menerapkan asas-asas penting ajaran Islam tahap demi tahap. Kebiasaannya, mereka yang berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai Islam akan di bawa keluar dan akan mengikuti kursus asas secara formal. Di Kelantan terdapat Pusat Lathan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA ) di bawah kelolaan ABIM melalui unit Islamic Outreach ABIM Kelantan yang bertujuan untuk memberi pendidikan tentang Islam kepada Orang Asli khususnya. Antara Program yang di laksanakan di laksanakan adalah seperti Kursus Asas Kefahaman Islam, Kursus Pengajian Islam dan Kursus Perguruan Fardhu Ain. Kebanyakan kursus ini berbentuk jangka panjang dan semua pengajian dibiayai penuh oleh pihak PULDOA di mana dana pembiayaan adalah merupakan hasil bantuan orang ramai. Kebanyakan lepasan kursus ini akan menyambung pengajiannya di Institut Dakwah Islamiah Perkim dengan harapan semoga mereka dapat menjadi pendakwah untuk masyarakat mereka. Selain itu juga maklumat terbaru di Kelantan dimana seramai 7 orang anak orang asli telah diterima masuk belajar di Sekolah Menengan Agama di Ketereh, Kelantan. Situasi ini merupakan permulaan bagi menggalakkan anak – anak orang asli memilih aliran pendidikan agama sebagai pilihan di sekolah menengan.

Selain itu juga, pihak MAIK juga memainkan peranan yang besar dalam menganjurkan kursus – kursus kefahaman Islam terhadap Orang asli. Selain daripada kursus terdapat juga program – program sususlan yang lain. Antara program yang boleh diadakan :

Ø Adakan Program Amal

Ø Libatkan Mereka Dengan Tanggungjawab Sosial

Ø Adakan Majlis Penerangan Umum

Ø Adakan Pertemuan Individu

Ø Mengadakan Kursus Agama

Ø Memberi layanan baik

Ø Membimbing ke arah memahami & menghayati Islam

Ø Memberi pertolongan kebendaan

Ø Jemput ke majlis kenduri

Ø Ziarah

Ø Baktisiswa pelajar bersama masyarakat Orang Asli.

Cabaran dalam perkembangan Islam dalam Masyarakat Orang Asli.

Cabaran memang sudah tidak dapat dinafikan lagi dan menjadi asam garam dalam perjuangan dakwah dalam masyarakat orang asli. Antara cabaran yang di lalui adalah seperti jarak jauh dan cabaran meredah hutan belantara untuk ke sesebuah pos atau kampong orang asli, cabaran dari masyarakat sendiri di mana ada sesetengah mereka anti kepada agama islam. Sebagai contoh ada pihak agama lain yang memburuk – burukkan Islam dalam masyarakat orang asli, cabaran kewangan, dan lain – lain lagi. Namun semua itu dapat di atasi dengan bantuan Allah SWT.

Kesimpulan

Perkembangan positif dan penerimaan masyarakat orang asli terhadap agama Islam adalah begitu memberansangkan. Ini adalah hasil perjuangan yang tidak pernah jemu dan kombinasi antara semua badan dakwah dalam menyampaikan risalah Ilahi serta bantuan dari Allah SWT. Pihak kerajaan juga tidak kira pusat atau negeri sekarang telah mengambil berat tentang dakwah kepada orang asli. Semoga suasana ini dapat lagi di tingkatkan dan Islam terus berkembang subur dalam Masyarakat Orang asli. Semoga Allah s.w.t. memberikan kekuatan kepada kita untuk menjalankan kerja-kerja dakwah secara berkesan.

Rujukan :

- Kertas kerja seminar : Pendekatan Dakwah dan memahami psikologi Masyarakat orang asli, Dr Fariza Md Sham, dalam Seminar Dakwah kepada Orang Asli Peringkat Kebangsaan Mei 2007, Anjuran Islamic Outreach ABIM

- Kertas kerja seminar : Pengalaman dan cabaran berdakwah kepada Orang asli, Dato’ Dr Hj. Abd. Razak b. Kechik, dalam Seminar Dakwah kepada Orang Asli Peringkat Kebangsaan Mei 2007, Anjuran Islamic Outreach ABIM

- Buku Method Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan

- Tesis : Ilham b. Haji Daud(2006-2007) Praktikal Pengajaran Solat terhadap saudara baru Orang Asli : Satu kajian di Islamic Outreach ABIM Kelantan, Latihan Ilmiah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra.

- www.jheoa.gov.my

- www.permataorangasli.blogspot.com.

- www.Sinarharian.com.my.


Karangan Ilmiah ini merupakan salah satu syarat wajib untuk lulus modul Tamadun Islam & Asia.



K

Related Posts with Thumbnails
Return top