Catatan Jiwa


terlintas dalam fikiranku akan sesuatu kejadian... sesuatu kenangan... sesuatu peringatan... suatu kesilaman... suatu sesuanaan....yang pasti menyentuh hati... namum semuanya berlalu begitu lama... semoga apa yg terjadi menjadi ijazah paling berharga dalam menempuh gelombang kehidupan yang serba mencabar..

adakah penantian suatu keperitan? mengharapkan satu perjalanan dalam sebuah kehidupan...demi untuk mencapai hasrat murni di dalam hati... namun... apabila hasrat itu dicapai.. maka segala penantian hilang entah kemana dan keceriaan menjelma kembali... usaha dan doa pegangan ampuh kunci mencapai matlamat ditujui...

Hairan.... mengapa aku tidak diberitahu segala2 nya... adakah aku hanya bayangan sahaja? yang mengikut tubuh... dibawah sinaran mentari.. pabila gelap menjelma ... hilanglah bayangan... namun... mungkin ada pengajaran.. mungkij juga silapku... mungkin juga ia xpenting untuk diketahui olehku.. atau... apa2 sahaja.. semoga aku terlindung dari sifat2 yg boleh menghancurkanku kerana sekecil masalah yang menimpa...

Keuntungan,... ya...keuntungan apa yg dicari... keduniaan atau akhirat? atau kedua2nya sekali? sekali direnung... ramai yang mengejar keuntungan...namum, ramai yg ambil jalan pintas... kadang2 boleh membahayakan diri dan merugikan diri... pabila kerugian menimpa.. terus dipersalahkan... bukan dimuhasabahkan... layakkah kita mendapat keuntungan jika sifat demikian masih membeku dihati... buanglah .... redhalah dengan rezeki yang kita miliki... jika ada yg memerlukan hulurkanlah... ia bukan suatu kerugian.. tapi keuntungan berganda... semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat keuntungan dunia n akhirat

kekadang aku tertekan... kekadang ada masa aku serabut.. kekadang ada juga rasa terasing... tapi semua terjadi itu jangan disalahkan... mesti direnung.. mengapa perkara ini terjadi pada diriku... mungkin aku banyak dosa... yang perlu dimuhasabah dan perlu di taubatkan...

umurku telah melepasi jubli perak... detik terasa apa yang telah dirasai...dihadapan nanti selama manakah aku akan hidup... itulah rahsia yang mesti direnung & dimuhasabahkan ... sejauh mana amalan dan bekalan nanti... aku jika masa menjemputku dalam keadaan aku tidak sedia...... Astagfirullah......... ya Allah.......

Pabila ku berjalan2... ku terpandang sesuatu... tiba-tiba hatiku menjadi sayu.... melihat pelbagai gelagat... bila ku menjejak kaki ke sesuatu tempat.. menitis air mataku... alangkah untungnya jika dahulu aku dilatih dan diasuh sebegini... dididik di suasana yang tenang... dikelilingi para alim... mampu fasih diawal usia paling muda.. subhanAllah.... jika diizinkan ku kembali kezaman silam.. akan ku ubah segala2nya.... ku impikan semua itu....


p/s : disebalik rahsiah sebuah catatan... ^_^

Perutusan Aidil Fitri 1432H

Perutusan Adilfitri

Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK)

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbrkth,


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,


Alhamdulillah, Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar kita, Nabi Muhammad sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat, keluarga baginda al-itrul Mutohharah dan kepada para sahabat baginda keseluruhannya serta mereka yang mengikuti susur jalur perjuangan baginda yang penuh bersejarah tanpa penat dan lelah sehingga tibanya al-Qiyamah.

Alhamdulillah, sekali lagi kita semua diberi kesempatan untuk beribadat dibulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan sehingga ke penghujungnya dan Alhamdulillah, dapat kita menyambut Syawal sebagai tanda kejayaan kita setelah sebulan kita ditarbiyyah di madrasah Ramadhan.


Mewakili Saff kepimpinan Persatuan Pelajar Islam Kelantan, Kami mengucapkan Salam Aidilfitri, Salam Lebaran dan Salam perjuangan, maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam tidak kira dimana sahaja. Semoga kehadiran Syawal kali ini membawa sejuta makna kepada kita semua. Dikesempatan ini juga PPIK mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua diatas sumbangan dan kerjasama yang dihulurkan kepada PPIK dalam menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan.


Nur Ramadhan yang membawa sejuta makna dan sejuta barakah akan melabuhkan tirainya dengan penuh kesayuan dan kesedihan kerana kita belum tentu dapat bertemu dengan Nur Ramadhan pada tahun mendatang. Semoga kita semua dapat lagi bertemu dengan Ramadhan mendatang. Namun, perginya Ramadhan di ganti dan disusuli dengan keindahan Syawal sebagai tanda kemenangan kepada kita semua setelah kita di tarbiyyah selama sebulan di yang penuh kemuliaan.


Kehadiran Syawal ini sama-samalah kita hayati, kita fahami. Kita selami disebalik maknanya yang penuh indah. Janganlah dengan kehadiran Syawal ini menjadi medan kurang baik, tetapi jadilah ia sebagai medan terbaik untuk kita setelah kita ditarbiyyah di madrasah Ramadhan yang penuh barakah. Semoga segala gerak kerja kita akan menjadi lebih mantap lagi dan lebih baik dari sebelum ini.


Akhir sekali, semoga kita semua terus istiqamah dalam perjuangan dan gerakan dakwah. Setiap teguran dan bantuan dari semua pihak amatlah diharapkan. Semoga usaha kita yang tidak seberapa ini diberkati dan mendapat keredhaanNya. Bersamalah kita meningkatkan usaha kita kearah menjadikan kita generasi yang mampu membangunkan masyarakat kearah yang lebih baik.


Allahu Akbar..Allahu Akbar.. Allahu Akbar.


Hidup Biar berjasa.


Sekian terima Kasih



Abdullah b. Muhamad Nawi

YangDiPertua

Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK)

Salam Ramadhan Buat Semua Sahabatku....


Selamat Menyambut Bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan Kali ini adalah lebih bermakna ^_^

Ucapan Dasar : Gerakan Ilmu & Bakti


GERAKAN ILMU & BAKTI


Mukaddimah


Dengan setinggi-tinggi kalimah tahmid dan tasyakkur, saya mewakili seluruh saf kepimpinan PPIK mengalu-alukan kedatangan seluruh muktamirin dan muktamirat ke Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PPIK kali ke 17 pada tahun ini. Buat tetamu undangan dan jemputan khas, kami memanjangkan salam mahabbah fillah atas kesudian kalian memenuhi jemputan kami ke majlis yang penuh makna ini.


Ahlan wasahlan dan ucapan selamat datang ditujukan kepada seluruh muktamirin dan muktamirat yang terdiri daripada pendukung setia gerakan tercinta ini. Pengorbanan yang kalian buat, masa, wang , tenaga hanya mampu dibalas oleh Allah swt dan dengan itu saya mengkhabarkan janji Allah buat mereka yang komitmen berjuang di jalanNya, sepertimana yang telah Dia janjikan dalam surah At Taubah ayat 111 yang bermaksud :


“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman itu jiwa mereka dan harta benda mereka, dengan bayaran syurga. Mereka berperang pada jalan Allah , maka mereka pun membunuh dan mereka pun terbunuh sebagai suatu perjanjian yang benar atasnya.(tersebut) di dalam Taurat dan Injil dan al-Quran. Dan siapakah lagi yang memenuhi janjinya selain Allah? Maka gembiralah kamu dengan bai’ah kamu yang telah kamu bai’ahkan dengan Dia. Demikian kejayaan yang besar”.


Majlis Perhimpunan Agung Tahunan atau muktamar sanawi sinonim dengan fitrahnya adalah medan untuk kita bermuhasabah, gelanggang kritikan membina, serta halatuju perancangan sepenggal organisasi. Ia membawa erti yang sangat besar kepada kita semua. Sebagai sebuah badan pelajar Islam, marilah kita gunakan medan muktamar ini sebagai ruang muhasabah yang sebenar-benarnya. Menilai kekuatan dan potensi kita serta memanfaatkan sepenuhnya demi kemuliaan Islam dan Umatnya. Apa guna kekuatan dan potensi yang dikurniakan olehNya jika tidak dimaksimumkan manfaatnya pada jalanNya. Kita harus bersedia mengakui dan menginsafi kelemahan sejujurnya dan melihat sebagai ruang penambahbaikan supaya kita tidak terlena dan leka dengan apa yang kita buat.


Menyemai Ilmu Menabur Bakti


Muktamirin dan muktamirat sekalian,


Ke arah pembinaan generasi pelajar yang komprehensif, ia memerlukan tenaga muda yang diberikan kebebasan untuk membina dasar di samping memperlihatkan kesan sejarah pimpinan terdahulu supaya proses transisi kepimpinan dapat diserahkan kepada generasi muda dengan memiliki daya pengalaman kepimpinan yang tidak bermula daripada sifar.


PPIK merupakan satu gagasan Islami yang menumpukan keperluan latihan pelajar Islam dengan berpandukan pengalaman yang diperolehi pimpinan lalu. Ini membolehkan generasi baru akan dapat memulakan sesuatu daripada apa yang ditinggalkan oleh pemimpin tersebut. PPIK merupakan sebuah badan Pelajar Islam yang bertindak menguruskan organisasi dan kepimpinan peringkat pelajar. PPIK merupakan badan gabungan negeri Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang berfungsi sebagai Badan Perhubungan ahli negeri Kelantan yang berada di seluruh negeri.


Bersesuaian dengan tema yang dibawa sempena muktamar kali ini iaitu “Gerakan Ilmu dan Bakti”, PPIK berusaha mempelopori perubahan sosial dengan memantapkan penguasaan ilmu dan kebijaksaan dan menabur bakti kepada masyarakat serta mengamalkan dakwah dengan persepsi dan komunikasi yang meyakinkan dan efektif.


Penghayatan budaya 7 yang diterapkan di dalam PPIK mestilah difahami dan dihayati sepenuhnya oleh ahli PPIK sebagai kelangsungan gerakan ilmu dan bakti. Budaya 7 tersebut adalah :


1. Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia


Budaya ini selaras dengan tuntutan Allah di dalam surah Al-Alaq yang pertama diturunkan sebagai permulaan suatu kebangkitan dominan ilmu serta alam. PPIK di dalam orientasinya meletakkan Ālamiyyah sebagai ukuran kekuatan insan bagi membezakan yang hak dan batil. Ianya didasari oleh Al-Quran dan As-Sunnah serta ilmu-ilmu keduniaan lain yang menjadi adunan terbaik pembinaan insan berkualiti.


2. Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar


Sifat ini selaras dengan ciri-ciri pembinan generasi rabbāni yang melatih insan untuk bersifat terbuka, menerima pandangan dan dalam masa yang sama berhikmah dalam menegur pihak lain. Budaya ini mampu memupuk rasa rendah diri (tawaddhu`) atas kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan sendiri serta orang lain.


3. Penghayatan amalan kerohanian


Penghayatan budaya ini dilakukan melalui Qiamullail, zikir al-Mathurat dan amalan -amalan Rasulullah SAW secara istiqamah baik secara individu atau jemaah. Hubungan intim kita dengan Allah SWT merupakan pra syarat utama dalam membina kekuatan kita selaku gerakan pelajar Islam.


4. Memperkasa semangat ukhuwwah


Semangat ini terbina atas dasar aqidah seterusnya melahirkan rasa kasih sayang sesama insan kerana Allah. Rasulullah SAW berpesan dalam hadisnya yang bermaksud:


Tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri”

Hadis riwayat Bukhari.


5. Menghayati amalan syura, amal jamā`iy & budaya kerja terancang


Amalan syura secara bersepadu dalam sistem keorganisasian dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persatuan. Manakala budaya kerja terancang merupakan satu latihan disiplin ahli sebagai tanda patuh dan taat kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama. Namun kesatuan amal ini hanya terlaksana dengan terikatnya kesatuan fikrah sehingga membentuk satu gelombang dakwah yang berterusan dan terencana.


6. Prihatin dan iltizam dengan isu semasa


Budaya ini penting dalam merancang, menganalisa dan merumus isu tersebut dalam rangka membela umat.


7. Menghayati rūh al-jihād fï sabïl al-Allah


Inilah peringkat tertinggi yang dapat dicapai hasil latihan dan semangat untuk meratakan kalimah iman dan amal di segenap alam. Peringkat ini hanya teruji dengan pengorbanan tidak berbelah bahagi terhadap urusan jamaah bersandarkan fiqh al-awlawïyah (fiqh keutamaan). Jiwa yang terbina di atas landasan jihad menuntut kesediaan diri insan dengan semua persiapan di atas.


Ketujuh-tujuh budaya ini amat bertepatan dalam usaha kita membentuk generasi pelajar yang dinamik dan cemelang kerana kita adalah pewaris dan kita yang bakal mencorak masa depan Negara kita.


Meladani Qudwah Membina Generasi


Muktamirin dan muktamirat sekelian,


Muhamad Iqbal, seorang penyair Islam telah membayangkan keagungan perwira-perwira Islam di zaman keagungan dan kegemilangan empayar Islam di dalam sebuah syairnya yang bermaksud :


Siapa yang berjuang,

Untuk meninggikan syariat Islam,

Hingga tersebar ke seluruh pelusuk alam,

Bagaikan bintang-bintang yang bersinar di kala malam.


Mantapkan jiwamu,

Bagai semantap gunung,

Berkemungkinan tiba masanya kamu terpaksa,

Mengharungi lautan samudera.


Sebelum para-para mujahid,

Merempuh , membuka sebuah Negara,

Sudah bergema suara azan,

Tetapi, yang memekak telinga,


Masih belum kedengaran.

Benua Afrika tidak mungkin lupa,

Seruan dakwah kita

Sekalipun masih berlalu…


Bumi kembali memuntahkan,

Api sengketa sesama sendiri.

Kita terus mara ke hadapan,

Biarpun dada bersarang,


Tidak tercuit di hati rasa gentar,

Sekalipun berhadapan dengan raja yang taghut!

Di medan pertempuran mujahid,

Di surau dan masjid menjadi duat,


Islam berkembang bagaikan cendawan.

Tidak pernah kami gentarkan,

Akan taghut, musuh kami

Hingga ada saudara kami,


Terkorban di sarang penjara.

Terus mara, berjuang…

Mengabdikan diri pada yang Esa,

Pencipta alam semester,


padaNya jua Qada dan Qadar.

Bulat hati, memohon rahmat,

Moga kami di sampingMu,

Setiap waktu dan seketika.


Di dalam syair ini menggambarkan sifat-sifat keperibadian perwira-perwira Islam di zaman keagungan Islam. Wajiblah kita mencontohi teladan yang ditonjolkan sebagai persiapan kita sebagai generasi dan pewaris yang cemerlang.


Meneladani qudwah adalah penting bagi kita sebagai pelajar Islam kerana banyak ibrah dan nilai penting buat kita semua. Sejarah Islam mesti dikaji dan dihayati sebagai iktibar dan ikutan untuk kita. Allah berfirman yang bermaksud :


“ Demi sesungguhnya, kisah mereka ( Nabi-nabi) itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi ULUL ALBAAB. Ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang disebut dalam kitab – kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman”.


Surah Yusuf:111


Khatimah


Muktamirin dan muktamirat sekalian,


Sebahagian daripada nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya bermaksud :


“ Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya telah digunakan pada barang yang merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalan (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka”


Kepentingan waktu itu amat penting bagi kita semua dan perlu di muhasabah ke mana arah waktu kita sebelum ini. Ini amat penting supaya kita tidak lalai pada masa – masa yang mendatang.


Sebagai pelajar islam, peranan dan komitmen adalah penting serta peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk masa depan masyarakat Islam. Tiga asas kecemerlangan perlu dibentuk ke arah generasi yang cemerlang iaitu :


1. Kecemerlangan Akademik

- Penting untuk kita menjadi insan yang berilmu dan membina kecemerlangan diri


2. Kecemerlangan Akhlak

- Seseorang yang berilmu akan bertambah ilmu dengan kecantikan akhlaknya. Orang yang berilmu tetapi tidak berakhlak masih dianggap kurang ilmu. Tiada gunanya orang yang berilmu banyak tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik dan orang yang jahil tetapi berakhlak mulia adalah lebih baik dari orang berilmu tetapi tidak berakhlak.


3. Kecemerlangan menyumbang untuk agama, bangsa dan Negara.

- Penting kerana ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan kepada masyarakat yang memerlukan dan menjadi kunci ke arah pembinaan generasi yang cemerlang.


Akhir kalam, marilah kita merenung kata-kata nasihat yang dipetik dari buku Ayuhal Walad karya Al Iman Al Ghazali iaitu:


“ Jadikanlah hematmu itu dalam meningkatkan rohanimu, dan jadikanlah segala kegagalan itu berada di pihak hawa nafsumu. Dan jadikanlah kematian itu hanya pada badanmu, kerana tempat tinggalmu ialah liang kubur, dan penghuni kubur sentiasa menanti kedatanganmu pada setiap masa, maka janganlah sekali-kali engkau datang ke sana tanpa bekalan.


Dan berkata Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a:


“ Badan kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung ataupun kandang binatang, maka fikirlah baik-baik untuk dirimu. Dan tentukanlah bagi dirimu yang mana satu di antara dua perumpamaan ini.


Jikalau engkau laksana burung yang terbang tinggi, maka akan terbanglah dengan riang gembira apabila mendengar seruan


Surah Al-Fajr:28


Maksudnya : Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai.


Engkau akan terus terbang tinggi hingga engkau akan hinggap di puncak pohon-pohon syurga yang tinggi. Ini sepertimana sabda Rasulullah saw ketika Saad b. Muaz meninggal dunia :


Ertinya : Telah bergegar Arasy Allah (kerana kegembiraan) ketika kematian Saad b. Muaz.


Dan mudah – mudahan Allah melindungi engkau daripada menjadi laksana binatang ternakan seperti firman Allah Taala :

Surah Al-A’raf : 179

Maksudnya : Mereka ini laksana binatang bahkan lebih sesat lagi.


Maka tidak mustahil bahawa engkau akan berpindah dari alam dunia ini ke dalam jurang api neraka.


Semoga PPIK terus Istiqamah dan cemerlang membina generasi pelajar Kelantan yang cemerlang serta sentiasa mendapat petunjuk dan keberkatan daripadaNYa.

Sekian Allahuakbar..Allahuakbar…Allahuakbar..


Related Posts with Thumbnails
Return top