TAHUN 2011: ADAKAH IA LEBIH CEMERLANG BERBANDING TAHUN YANG LALU?


Catatan ini ditaip pada hari Khamis, jam 12.08a.m, 13hb Januari 2011.

Namun, sebenarnya ianya telah ku rangka dan kutulis catatan ini pada hari Ahad, 9hb Januari, Jam 7.10a.m di Hentian KTM Kajang. Saat itu sedang aku menunggu keretapi ke Mid Valley untuk menghadiri Seminar Pakar Ebook di Hotel Cititel, Mid Valley. Satu perjalanan yang agak menenangkan hatiku. Pada Masa yang sama juga Team Catur Bistari UMP akan berentap di PICC, Putrajaya dalam Cabaran CB Terbuka Peringkat Kebangsaan. Tahun ini aku tidak mengambil bahagian… beri laluan kepada team baru, tapi kenangan mendapat kejuaraan tahun lepas masih tersemat difikiranku. Kebetulan aku datang ke kajang bersama dengan Team CB.


Rasanya masih berkesempatan lagi ku ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2011 kepada semua yang mengenaliku… hari ini tanggal 13hb Januari, sudah 13 hari berada di tahun baru 2011. Sekejap masa berlalu. Aku rasa masih lagi berada di tahun 2010… memang masa cepat berlalu jika kita tidak menggunakannya sebaik mungkin. Sebelum tanganku terus laju menaip patah-patah perkataan, sebelum fikiranku berfikir lebih jauh.. sebelum ku terlupa.. ku ingin memohon kemaafan kepada sesiapa yang mengenali diriku ini.




Mengapa tiba – tiba aku memohon maaf? Pelik? Biasanya perkataan maaf ini akan ku taip pada penghujung coretan ku.. ya… biasa begitulah.. namun.. aku rasa kali ini lebih baik diawalkan. Kemaafan ku pohon untuk kesilapanku pada tahun yang lalu.. andai kata ada silap dan salah sepanjang tahun 2010.. ku pohon kemaafan dan jika ada sesiapa yang mengenaliku dan pernah buat silap dan salah, ku maafkan segalanya.. kita buka buku baru untuk tahun ini… biar ia menjadi lebih baik berbanding tahun lalu.


Menjelmanya Tahun 2011 dan Berakhirnya Tahun 2010


Coretan ku kali ini memang panjang dan semoga ia bermanfaat. Tahun 2011… bagaimana dengan anda? Adakah tahun ini tahun kebangkitan? Adakah tahun ini lebih cemerlang? Adakah tahun ini tahun gegaran? Adakah… adakah… ? anda sahaja yang mampu menjawabnya. Kita yang akan mencorak kemana halatuju tahun 2010 ini. Semoga ianya menjadi lebih cemerlang dan lebih manfaat lagi.


Aku suka mengimbau kembali sepanjang tempoh satu tahun di tahun 2010 sebagai satu penilaian dan muhasabah diri. Banyak kenangan manis, pahit, pedih, masam, dan sewaktu dengannya telah ku lalui. Banyak pengalaman yang dilalui dalam tempoh tersebut. Banyak juga kejadian-kejadian yang diluar dugaan dan jangkaan telah menimpa diriku. Semua ini telah memberi kesan pada diriku dan juga mematangkan lagi diriku untuk terus melangkah dengan lebih jauh.


Jika diimbau kembali pencapaian ku pada tahun 2010, aku merasakan ia amat bermakna kerana ia lebih cemerlang jika dibandingkan dengan tahun yang sebelum itu, antaranya


  • · Mendapat kejuaraan peringkat kebangsaan dalam Cabaran Catur Bistari
  • · Buat kali pertama penampilan sebagai pengisi slot motivasi pelajar sekolah
  • · Juga buat kali pertama Berjaya mengendalikan slot khas muhasabah cinta
  • · Berjaya bersama menjayakan kem menara gading peringkat negeri


Itu adalah beberapa kejayaan luar jangkaan ku sepanjang tempoh 2010. Boleh dibanggakan.. namum perlu dipertingkatkan lagi. Perlukan suntikan baru bagi meneruskan kejayaan. Tetapi.. disebalik kejayaan ini juga harus dinilai dan dimuhasabahkan. Jaga terlalu asyik gembira dengan kejayaan, tetapi setiap kejayaan mesti disyukuri dan mesti berterima kasih kepadaNya serta mesti bermuhasabah disebalik kejayaan tersebut.


Selain itu juga, jika dikenang, ada juga kenangan yang diluar dugaan dan penuh cabaran. Aku rasa tahun ini begitu mencabar dan hampir –hampir membuatkan aku tidak sanggup memikulnya. Namum aku bersyukur kepadaNya kerana aku dikurniakan sahabat-sahabat yang sentiasa prihatin yang sentiasa memberi kata-kata azimat dan kata-kata semangat yang penuh keramat. Tahun ini tanpa ku duga, aku telah diberi amanah yang sangat-sangat berat. Amanah untuk memimpin. Amanah dilantik untuk mengendalikan sesebuah badan organisasi peringkat negeri. Terlampau –lampau berat.


Sekali terfikir.. layakkah aku seorang insan kerdil ini memikul amanah ini. Hatiku sebak. Aku takut tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Semoga aku diberi kekuatan dan bantuan dariNya. Ku pohon padamu Ya Rabbi. Aku bersyukur kerana teman-teman, sahabat-sahabat dan Guruku sentiasa memberi semangat dalam hal ini. Terima kasih semua.


Namum, disebalik tahun itu juga, ada dugaan pahit menimpa diriku. Aku tidak suka menceritakan hal ini kerana ia agak peribadi. Hanya tertentu sahaja aku coretkan. Mungkin sesiapa yang mengenaliku akan beranggapan bahawa aku ini seorang yang low profile, biasa, ceria, suka bantu, nakal (hehehe), tapi sebalik itu sebenarnya ada sesuatu yang agak berserabut atau pahat bermain difikiranku. Mungkin ada yang perasan, aku ada mengeluarkan entri “menyepi dan menghilangkan diri buat seketika” di fb, ym dsb. Memang pada masa itu aku perlukan sedikit ketenangan diri.


Dalam tempoh itu aku lebih suka guna konsep “ketenangan dan keyakinan” dalam menghadapi masalah dalam tempoh itu. Aku pohon kemaafan kepada semua kerana dalam tempoh itu aku menyepi. Banyak kerja tertangguh sehingga ada menganggap aku ini tidak menjalankan amanah. Banyak komen-komen yang aku terima sehingga ada yang memedihkan hati. Aku terima semua kerana aku sedar itu kesilapanku dalam tempoh itu.


Mungkin tertanya-tanya mengapa itu berlaku? Awal lagi telah ku tulis ia berkaitan dengan peribadi dan agak peribadi. Tapi telah diselesaikan dengan konsep tenang dan yakin. Selain itu aku ada masalah kesihatan. Kesihatan? Biasa tengok ok je?. Memang betul jika dilihat aku seperti biasa, tetapi hakikatnya ada. Kesihatan pada masa itu agak terganggu menjejaskan prestasi, menjejaskan emosi, menjejaskan segalanya. Hampir-hampir membuatkan aku tersungkur. Semoga tahun ini tidak berulang kes yang sama. Aku rasa amat memeritkan. Teramat memeritkan.


Ku memohon semoga diberikan kesihatan yang baik olehNYa.. Segala silap dan salah ku pohon kemaafan.


Tahun 2011: Satu Kebangkitan


Tahun 2011 menjelma dan tahun 2010 meninggal jauh… setiap orang berazam untuk membuat yang terbaik bagi tahun ini. Namun, sejauh mana keazaman tersebut? Apakah hanya ungkapan dimulut tetapi yang terjadi hanyalah sama sahaja, seperti tahun-tahun yang lalu. Sama-samalah renung. Setiap keazaman mesti dirancang dan dilaksanakan. Aku suka dengan satu istilah yang sentiasa disebut oleh sahabat karibku yang diadaptasikan dari kisah seorang tokoh dalam sejarah Islam iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih, istilah yang dimaksudkan ialah Fatih Value. Apa yang dimaksudkan dengan nilai FATIH atau Fatih Value ini?


F ialah Fokus, setiap apa yang dilakukan mesti fokus. Ada misi dan visi serta objektif setiap apa yang dibuat dan dirancang. A ialah akhlak yang terpuji. Wajib ada pada diri kita untuk menjadi insane yang berjaya. T ialah teknologi, iaitu penguasaan dalam setiap teknologi dan kemahiran. I ialah ilmu yang manfaat yang boleh digunakan untuk semua dan H adalah hasilkan tindakan dimana setiap apa yang dilakukan mesti bertindak bukan hanya perancangan semata-mata. Nilai-nilai Fatih ini amat manfaat bagi membuat perancangan tahunan supaya ia menjadi tahun yang manfaat.


Tahun 2011 : Keazaman Untuk Mencapai Kegemilangan


Memang tidak dinafikan lagi tahun ini penuh dengan cabaran. Namun begitu, cabaran itulah yang mematangkan kita dan membuatkan kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya. Tahun ini bagiku adalah tahun kebangkitan. Mengapa tahun kebangkitan? Ya.. kebangkitan kearah yang lebih cemerlang. Bangkit untuk menggegarkan dunia. Mungkin ada yang mengatakan “hek eleh… nak menggegarkan dunia.. DEMO TU SAPO? koya jah lebih pi… lah” mungkin itu hanya sindiran, hanya tohmahan yang sengaja dicipta untuk melemahkan diri. Bagiku.. ah… aku peduli apa yang orang mahu cakap. Aku ada matlamat dan mesti dibuktikan… aku tidak boleh seperti dahulu lagi.


Tahun ini tahun menggapai bintang.. dengan misi dan visi serta objektif yang baru. Semuanya mesti bermula dari sekarang. Mesti menafikan bahawa ini angan – angan tetapi bertegas ia bakal menjadi kenyataan. Mengapa orang lain boleh, aku tidak boleh? Aku mesti lebih… mesti BERJIWA BESAR!!!. Tahun ini aku mesti mencapai impian. Impian yang aku idamkan. Apa dia impian dan azam tahun ini? Sedikit perkongsian untuk impian besarku.


1. Muncul sebagai salah seorang usahawan internet terkemuka di Malaysia yang hampir setanding dengan Zamri Nanyan, Rahman Basri dan lain-lain. Mungkin agak pelikkan bunyi? Tapi jangan terkejut. Ini pasti akan berlaku. Tunggulah kemunculan sulungnya nanti.


2. Untuk tempat pengajianku, aku akan pastikan team Eimarace iaitu satu projek pembikinan kereta lumba mengekalkan kedudukan dalam 3 team terbaik seluruh IPT. Mesti dapat tahun ini.


3. Menguasai beberapa kemahiran dan teknologi. Tengok macam umum, kita spesifik kan lagi. Iaitu kemahiran dalam pengurusan laman web seperti joomla, kemahiran menggunakan mesin khas iaitu CNC, lathe, grinding, NVH dan lain-lain yang penting dalam kejuruteraan. Paling penting pengajianku tahun ini adalah terbaik dari tahun yang lepas.


4. Memastikan persatuan dibawah naunganku aktif dan menafikan segala anggapan negatif sebelum ini.


5. Meningkatkat kemahiran pidato dan penceramah. Menjadi setaraf dengan sahabatku Bro Fityan. Sekurang-kurangnya untuk tahun ini aku dapat mengisi 7 slot ceramah. InsyaAllah pasti bergegar.


6. Mendaftarkan diri di OUM untuk ijazah kedua secara PJJ dalam bidang pengajian Islam dengan pengurusan. Bidang yang aku impikan sejak dahulu lagi. Aku harap ia menjadi kenyataan pada penghujung tahun ini. Mungkin pelik bila membacanya. Kalau keluarga ku membaca apa yang aku tulis ini mesti bergegarlah suara-suara teguran. Apa tidaknya, Ijazah sekarang pun tak habis lagi, gatal pulak nak ambik yang lain. Eh.. maaflah, aku terima segala teguran, tetapi semua itu aku yang nak, bukan orang lain. Apa yang aku nak aku akan pastikan ia tercapai. Soal kewangan aku yang tanggung tanpa minta dari sesiapa pun. Sebab ini impian aku.


7. Akhir sekali, impianku yang aku rasa sangat kontrovesi. Memang agak krontrovesi. Kalau dibacanya impianku ini memang memang bergegarlah dalam keluargaku nanti hehehe. Apa dia impian itu? Impianku adalah perkahwinan. Hah???? Mesti terkejut bukan? Tapi bukan… itu targetku pada tahun 2014. Tapi Insyaallah penghujung tahun inginku ikatkan Pertunangan dengan calon pilihanku (mesti ade yang tersenyum lebar). Kalau keluargaku baca mesti terkejut ni.. bukan apa, aku ingat lagi “warning” from my father : “La ni mung jange dok gata, dok gewe ko.. mung perabih dulu ngaji mung dulu, pah tu mung nok nikoh ko, nok bini ko loh gi la”. Memang betul kata-kata itu, tetapi aku rasa sampai masanya sebab memandangkan usia semakin meningkat. Maaf jika kenyataanku ini tidak disenangi oleh keluargaku, tetapi jika ia benar, terimalah niat yang baik ini. InshaAllah calon yang dibawa adalah terbaik, yang penting agama yang mantap. Tapi jika keluargaku ada calon pilihan, silakan tapi syarat utama AGAMA mesti kukuh. Apapun semua itu Jodoh ditanganNya. Kita merancang tetapi PerancanganNYa adalah yang TERBAIK.


Itu adalah sedikit perkongsian apa yang akan ku capai sepanjang tempoh setahun ini. Semoga apa yang dirangka dan dirancang membuahkan hasil yang penuh bermakna.


Kesimpulan


Firman Allah swt. Dalam surah Ali-Imran, ayat 10 bermaksud :


“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah(buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi lebih baik bagi mereka. (Tetapi) diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”


Renung-renungkanlah ayat tersebut yang merungkai seribu makna didalamnya. Aku berpesan kepada diriku dan juga kepada semua, sentiasalah bermuhasabah diri dalam setiap perancangan yang dilakukan. Semoga tahun 2011 ini menjadi satu tahun kebangkitan dan tahun yang cemerlang bagi kita semua.


Akhir kata jika ada tersalah silap dan terkasar bahasa dalam coretanku ini, ku pohon jutaan kemaafan. Aku menerima segala komen dan teguran serta tohmahan. Semoga ia bermanfaat untuk ku dan sebagai peringatan untuk ku.


Salam Perjuangan,


“Menyemai Ilmu Menabur Bakti, Merakar dan merinbun, Tenang dan meyakinkan”

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
Return top